
Selamat Hari Guru diucapkan kepada semua insan yang bergelar guru. Ianya disambut bagi memberi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak ternilai kepada semua guru.
وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ
Maksudnya : Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Surah Al- Imran: ayat 104.
Realiti pada hari ini, menjadi seorang guru bermaksud individu tersebut perlu berhadapan dengan pelbagai karenah serta cabaran dari ibubapa dan para pelajar. Ianya bukanlah satu perkara yang mudah, namun memerlukan kepada kesabaran dan iltizam yang tinggi dalam mendidik generasi yang terbaik.
Profesion guru sebenarnya pekerjaan yang sangat mulia kerana tugasnya adalah untuk mendidik anak bangsa yang kemudiannya akan berbakti kepada agama, masyarakat dan negara.

Perkataan guru, atau dalam bahasa Arabnya ialah المُعَلِّم muallim, iaitu orang yang mengajarkan – iaitu mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi dan boleh mengajar kepada orang lain.
Seorang guru tidak hanya memberikan ilmu pengetahuan (transfer of knowledge) tetapi juga berfungsi sebagai pendidik yang membentuk akhlak dan kepribadian sehingga membentuk ‘Insan Kamil’ yang bertakwa kepada Allah (S.W.T).
Selamat Hari Guru.
Guru Pemacu Reformasi Pendidikan.
Terima Kasih Cikgu Kerana Mendidik Kami Menjadi Insan Yang Berguna.
16 Mei 2025
18 Zulkaedah 1446 H