
وَوَصَّيْنَا الإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَاناً حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهاً وَوَضَعَتْهُ كُرْهاً وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاثُونَ شَهْراً حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, dia berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku termasuk golongan yang menyerah diri kepada-Mu.
Surah al-Ahqaf : Ayat 15
Seorang insan bernama ‘Ibu’ dipandang mulia di sisi Islam. Islam meletakkan kedudukan untuk mentaati ibu bapa (yang beriman) setelah taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Setiap manusia yang dilahirkan pastinya mempunyai ibu dan bapa sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.
Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap anak-anak untuk berbakti dan berbuat baik kepada ibu dan bapa mereka yang masih hidup terutama kepada insan bergelar ibu kerana kedudukan ibu lebih tinggi berbanding seorang bapa.
‘Hari Ibu’ yang disambut setiap tahun adalah bagi merayakan dan menyatakan rasa syukur kepada semua ibu di atas segala pengorbanan yang telah diberikan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak mereka sebaik mungkin tanpa rasa penat lelah dan jemu.
Pengorbanan sebenar seorang ibu bermula dari mengandungkan anaknya, melahirkan, bersengkang mata menyusui serta membesarkan dengan penuh kasih sayang dan memberi didikan terbaik terhadap anak- anaknya.
Betapa besarnya pengorbanan dan beratnya cabaran yang telah dilalui oleh seorang ibu demi melahirkan insan yang berguna untuk agama, bangsa dan masyarakat serta dapat berbakti kepada orang tuanya kelak.
Terima Kasih Ibu Di Atas Pengorbananmu..
